- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 59
PROGRAM SAVE THE BEACH SIRI 3.0 MERIAH DI PANTAI REMIS, KUALA SELANGOR
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 59
Pantai Remis, Kuala Selangor, 5 Julai 2025 – Seramai 50 orang belia dari kawasan Titiwangsa telah menyertai Program Save The Beach Siri 3.0 yang berlangsung di Pantai Remis, Kampung Dungun, Kuala Selangor. Program yang diadakan pada hari Sabtu itu dianjurkan oleh MAYC Kawasan Titiwangsa dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa dan Majlis Belia Kawasan Titiwangsa.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar, khususnya kawasan pantai yang menjadi salah satu tarikan pelancongan dan sumber rezeki komuniti setempat.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah berganding bahu membersihkan kawasan Pantai Remis, memungut sampah dan sisa yang mencemarkan keindahan pantai. Selain itu, sebanyak 20 buah rumah terpilih menerima agihan barangan asas sebagai usaha menyantuni komuniti setempat dan meringankan beban mereka.
Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti riadah dan sukaneka yang berjaya mengeratkan hubungan sesama peserta dan komuniti. Turut hadir memberikan sokongan penuh ialah semua kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa yang bersama-sama turun padang menjayakan program ini.
Melalui program seperti ini, para belia bukan sahaja didedahkan kepada aktiviti khidmat masyarakat, malah dipupuk dengan semangat tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap penjagaan alam semula jadi.