- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 71
KUNJUNG HORMAT PEJABAT BELIA DAN SUKAN TITIWANGSA/SETIAWANGSA KE PEJABAT CAWANGAN DBKL SETIAWANGSA
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 71
SETIAWANGSA, 20 JUN 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pejabat Cawangan DBKL Setiawangsa bagi membentangkan perancangan program serta memberi penerangan terperinci mengenai Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Kawasan Setiawangsa. Turut serta dalam kunjungan hormat ini, Cik Nur Mazarina binti Mazlan, Pengerusi Majlis Belia Kawasan Setiawangsa dan Exco MBK.
Antara tujuan utama kunjung hormat ini adalah untuk sesi perjumpaan bersama Pengurus Cawangan dan Penolong Pengurus Cawangan DBKL Setiawangsa yang baru dilantik iaitu Pn. Nor Irdawati binti Ismail dan Pn. Dzarifah binti Haron di samping dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pihak Pejabat Belia dan Sukan dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memantapkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan belia.
Pembentangan program oleh Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa, Encik Khairuddin bin Khalid meliputi pelbagai program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan oleh PBSK Titiwangsa/Setiawangsa sepanjang tahun 2025 bagi unit belia, Sukan dan Rakan Muda. Selain itu, sesi taklimat turut diadakan oleh Pengerusi Majlis Belia Kawasan Setiawangsa bagi memberi penerangan mengenai struktur dan peranan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Kawasan Setiawangsa. Penerangan ini bertujuan memastikan Pengurus Cawangan yang juga merangkap Pengerusi MPBN dapat memahami peranan MPBN Kawasan sebagai platform rasmi suara belia serta medium penyampaian cadangan dasar yang melibatkan belia di peringkat akar umbi.
Pejabat Cawangan DBKL Setiawangsa menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam memperkasakan belia melalui pelbagai program yang dirancang. Diharapkan kunjung hormat ini menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih erat antara DBKL Cawangan Setiawangsa, PBSK Titiwangsa/Setiawangsa dan NGO tempatan demi pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda yang lebih holistik khususnya di kawasan Setiawangsa.