
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 54
MERIAH!! SEMARAK HARI BELIA NEGARA PERINGKAT KAWASAN TITIWANGSA/SETIAWANGSA
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 54
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kawasan Titiwangsa dan Setiawangsa berlangsung dengan penuh meriah dan bersemangat di Kolej Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur hari ini. Program yang disambut serentak seluruh negara setiap 15 Mei ini berjaya menarik kehadiran ratusan belia tempatan sejak seawal jam 7.00 pagi hingga 2.30 petang.
Program ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Titiwangsa, Majlis Belia Kawasan Setiawangsa, Kolej Profesional Baitulmal, serta pelbagai agensi kerajaan yang turut serta menjayakan acara ini. Pelbagai aktiviti menarik disusun bagi mengisi sambutan tersebut dengan objektif utama untuk menghargai sumbangan generasi muda serta menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembangunan negara. Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah pertandingan Aerobikton, e-Gaming Mobile Legends, Port Makan-Makan, serta pameran pelbagai agensi kerajaan dan perkongsian bersama NGO.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Noor bin Ibrahim, Pegawai Khas kepada Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa dan beliau menyampaikan amanat kepada para belia yang hadir. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri pentingnya belia terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dan pemacu pembangunan masyarakat.
Sambutan Hari Belia Negara kali ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan golongan muda, malah berjaya mengukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dan diperkasa dari semasa ke semasa demi menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi masa depan.