- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 56
PBSK TITIWANGSA/SETIAWANGSA MENYERTAI XPLORASI ALAM DI BUKIT DINDING SETIAWANGSA
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 56
Setiawangsa, 11 Mei 2025 (Ahad) – Seramai lebih 50 peserta termasuk ahli PBSK Titiwangsa/Setiawangsa telah menyertai program Xplorasi Alam Bukit Dinding yang berlangsung dengan penuh semangat dan keseronokan. Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Kawasan Setiawangsa dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sentul.
Program ini diadakan bersempena sambutan Semarak Hari Belia Negara, bertujuan untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan belia selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti rekreasi luar. Peserta memulakan pendakian seawal jam 7.30 pagi, diiringi fasilitator berpengalaman yang turut memberi pendedahan tentang keselamatan semasa mendaki serta kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. Suasana ceria dan penuh keakraban jelas terpancar sepanjang pendakian, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta dari pelbagai latar belakang.
Turut hadir memberikan sokongan ialah wakil-wakil dari Majlis Belia Kawasan, PBSK serta pegawai AADK yang turut berkongsi maklumat kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Program Xplorasi Alam ini membuktikan bahawa belia mampu menjadi agen perubahan yang positif dalam komuniti apabila diberi peluang dan platform yang sesuai. Diharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan di masa hadapan bagi meneruskan kesinambungan semangat belia yang aktif, sihat dan berdaya saing.