- JBS Johor
- Hits: 95
PROGRAM SEMARAK BELIA @ HARI BELIA NEGARA (SB@HBN) DAERAH KLUANG TAHUN 2026
- JBS Johor
- Hits: 95
Kluang, 14 Mei 2026 – Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB@HBN) Daerah Kluang 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat dengan penyertaan daripada persatuan belia daerah, belia setempat serta komuniti sekitar daerah Kluang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang. Turut hadir ialah:
1. YB Syed Hussein bin Syed Abdullah, ADUN Mahkota;
2. Encik Tony Azman bin Hassan, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan Negeri Johor;
3. Encik Zainuddin bin Md Ramlan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang;
4. Encik Jefry bin Poon, Pengetua SMK Tun Hussein Onn; dan
5. Puan Nia Farhana binti Izaddin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kluang.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Belia Negara. Antaranya pertandingan Penalty Shoot, Netball Shoot Out, Timbang Takraw, Chapteh, Jump Rope Challenge, Belia Fun Walk, Fitness Challenge serta Podcast Ringkas yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan pengunjung. Program turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk persembahan silat, paluan kompang serta persembahan khas daripada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menampilkan persembahan bermain piano dan stack cup. Selain itu, persembahan setiap jenis sukan daripada pelajar SMK Tun Hussein Onn turut mencuri perhatian dan menambahkan lagi kemeriahan program.
Program ini turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan menerusi reruai pameran dan perkhidmatan antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan, Kolej Komuniti, Klinik Pergigian serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Penyertaan agensi-agensi ini memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan belia untuk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan yang disediakan. Penganjuran Program Semarak Belia@Hari Belia Negara (SB@HBN) Peringkat Daerah Kluang 2026 ini telah mencapai matlamatnya sebagai platform penting dalam memperkasakan peranan belia sebagai aset utama pembangunan negara selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang aktif, progresif dan berdaya saing bertepatan dengan tema Hari Belia Negara 2026 iaitu“Menggerak Belia”. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kluang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Daerah Kluang 2026.
#SemarakBelia
#menggerakbelia
#HBN2026
#Kluang
#MajuJohor
#MalaysiaMadani
#PejabatBeliaDanSukanKluang
#MajlisBeliaDaerahKluang
#persatuanbeliamahkotakluang
#PejabatPendidikanDaerahKluang
Disediakan Oleh JBSN Johor
