- APBM Batu Gajah
- Hits: 20
LAWATAN KERJA RASMI YB MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA KE JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI PERAK
- APBM Batu Gajah
- Hits: 20
IPOH, PERAK, 28 JANUARI 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menerima Lawatan Kerja Rasmi daripada YB Dr. Mohamed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasmi beliau ke jabatan dan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di seluruh negara.
Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta beramah mesra bersama warga kerja KBS di peringkat negeri, di samping menyampaikan amanat dan hala tuju kementerian dalam usaha memperkasakan pembangunan belia secara menyeluruh. Dalam ucapannya, YB Menteri menekankan kepentingan memperkukuh pembangunan golongan belia bukan sahaja dalam bidang sukan, malah merangkumi keupayaan adaptasi terhadap teknologi terkini, inovasi serta pembinaan modal insan yang berdaya saing. Beliau turut menyeru agar seluruh warga kerja terus mengekalkan komitmen yang tinggi demi memastikan setiap pelaksanaan program memberi manfaat maksimum kepada golongan sasaran, masyarakat dan komuniti setempat.
Turut hadir mengiringi YB Menteri dalam lawatan ini ialah YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan serta YBrs. Pn. Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Lawatan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran warga kerja Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah yang diketuai oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, bersama Encik Tines Kumar a/l M Lingam, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, serta para pegawai dan kakitangan akademi.
Lawatan kerja rasmi ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan agenda pembangunan belia dan sukan negara terus dipacu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
