- APBM Batu Gajah
- Hits: 61
PERASMIAN PENUTUP KURSUS USAHAWAN KREATIF: PHOTOGRAPHY & VIDEOGRAPHY BY SMARTPHONE
- APBM Batu Gajah
- Hits: 61
BANGI, SELANGOR, 30 JULAI 2025 – Cawangan Pengembangan dan Inovasi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah berjaya menganjurkan Kursus Usahawan Kreatif: Photography & Videography by Smartphone yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 28 hingga 30 Julai 2025 bertempat di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Bangi.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan, kemahiran serta kefahaman kepada para peserta khususnya golongan belia usahawan dalam menghasilkan kandungan visual yang menarik menggunakan peranti pintar (smartphone). Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah efektif dalam memperkukuh strategi pemasaran digital, selaras dengan arus kemajuan teknologi dan tuntutan globalisasi masa kini.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul praktikal dan teori berkaitan teknik penggambaran dan penyuntingan kandungan digital. Antara perkongsian ilmu yang disampaikan oleh En. Muhammad Azim bin Idris, pakar digital daripada Wrna Digital Sdn. Bhd., yang memberikan panduan dan inspirasi dalam penghasilan bahan promosi visual yang kreatif serta berimpak tinggi.
Majlis perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menggalakkan para peserta untuk terus mengaplikasikan ilmu yang diperoleh demi memperkasa keusahawanan belia negara.
APBM Batu Gajah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen semua peserta serta berharap agar platform seperti ini dapat terus memperkasakan potensi usahawan belia di Malaysia.
“Anda semua hebat. Selamat maju jaya!”
