- APBM Batu Gajah
- Hits: 54
ANTARA PENERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024 JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGARA (JBSN)
- APBM Batu Gajah
- Hits: 54
BANGI, SELANGOR, 29 JULAI 2025 – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi Tahun 2024 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Bangi Avenue Convention Center (BACC) hari ini.
Majlis tahunan ini dianjurkan bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang warga kerja di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menunjukkan prestasi kerja luar biasa serta komitmen tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Anugerah ini juga menjadi simbol penghargaan dan motivasi kepada semua penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu kerja dan profesionalisme dalam usaha menjayakan matlamat organisasi.
Bagi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak, dua orang pegawai telah terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun ini. Mereka ialah Cik Zurina binti Mohd Rashid, Penolong Pegawai Belia dan Sukan serta Encik Mohd Nazri bin Mustafa, Pembantu Khidmat Awam.
Pengarah APBM Batu Gajah, Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, mewakili seluruh warga kerja APBM Batu Gajah, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua penerima APC atas pencapaian membanggakan tersebut. Beliau turut menyatakan harapan agar pencapaian ini menjadi pencetus semangat kepada semua warga APBM untuk terus berkhidmat dengan lebih berintegriti, cekap, berdaya maju dan cemerlang secara berterusan demi manfaat masyarakat dan negara.
Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan individu, tetapi juga memperkukuhkan budaya kerja cemerlang dalam kalangan penjawat awam di bawah KBS, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
