- APBM Batu Gajah
- Hits: 42
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KURSUS AGRO YOUTH SIRI 2 - TEKNIK PENANAMAN FERTIGASI CILI
- APBM Batu Gajah
- Hits: 42
SUNGAI PETANI, KEDAH, 25 JULAI 2025 – Cawangan Penyelarasan dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah berjaya menganjurkan Kursus Agro Youth Siri 2 - Teknik Penanaman Fertigasi Cili yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai 2025 bertempat di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Sungai Petani, Kedah.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices - GAP), falsafah dan konsep pengurusan projek pertanian, khususnya dalam teknologi penanaman cili menggunakan sistem fertigasi. Antara modul yang diketengahkan termasuk teknik pengurusan projek pertanian, pengiraan kos untung rugi, serta kepentingan kawalan penyakit dan perosak bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman.
Kursus ini turut menampilkan barisan tenaga pengajar profesional dan berpengalaman dalam bidang masing-masing antaranya Tn. Syed Salleh bin Syed Sulaiman (Sulaiman Plantation Sdn. Bhd.), Pn. Nazura binti Mansor (Pegawai MARA Negeri Kedah), Tn. Mohamad Fakhrul Reza bin Abd Rahman (Pengurus Cawangan Agro Bank Balik Pulau, Pulau Pinang), Tn. Ahmad Nazeri bin Aziz (Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Kedah), serta Coach Kamaruzzaman bin Kamaludeen @ Coach KK.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Kursus Agro Youth Siri 2 ini merupakan salah satu inisiatif APBM Batu Gajah dalam memperkasakan usahawan belia dalam sektor pertanian moden, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk melahirkan belia yang berilmu, produktif dan berdaya saing.