- APBM Batu Gajah
- Hits: 61
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KURSUS PENSIJILAN HALAL, MESTI & BESS 2025
- APBM Batu Gajah
- Hits: 61
BANDAR BARU BANGI, SELANGOR, 13 JUN 2025 – Kursus Pensijilan Halal, MESTI dan BESS anjuran Cawangan Penyelarasan dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis perasmian penutup yang berlangsung di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Bandar Baru Bangi, Selangor.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 10 Jun hingga 13 Jun 2025 ini merupakan salah satu inisiatif APBM Batu Gajah dalam usaha memperkasakan golongan belia, khususnya usahawan muda dalam sektor makanan dan minuman melalui pendedahan kepada keperluan pensijilan yang penting seperti Pensijilan Halal Malaysia, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BESS).
Kursus ini telah mendapat kerjasama erat daripada agensi kerajaan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Antara barisan penceramah adalah Tn. Hj. Sazly Azizuddin bin Sahaimi, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia manakala penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) terdiri daripada Puan Nur Ardzlina binti Mahmod dan En. Mohd Shahril bin Abd. Samat, daripada Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul merangkumi konsep pengauditan lapangan, impak pensijilan halal terhadap kelangsungan perniagaan, serta sesi praktikal berkaitan sistem MyEHalal dan IHCS, di samping penerangan terperinci mengenai prosedur pensijilan MeSTI dan BESS.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
APBM Batu Gajah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tenaga pengajar, urus setia dan peserta yang telah menjayakan kursus ini dengan cemerlang. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program pembangunan keusahawanan belia yang akan datang, belia-belia disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial APBM Batu Gajah.