PASUKAN ARUS DINOBAT JUARA JAGUH RAKAN MUDA MUSIM KE-2, PERKUKUH PEMERKASAAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA



    DAMANSARA, 15 NOVEMBER 2026 - YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan telah hadir ke Sesi Siaran Langsung Episod Kemuncak Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim ke-2 seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah di Hextar World Empire City, Damansara, hari ini.

    Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

    Pasukan Arus cipta fenomena tersendiri dengan menewaskan pasukan Nadi dan Suria dengan muncul juara seterusnya membawa pulang wang tunai RM100,000.00 berserta medal.

    Jaguh Rakan Muda Musim ke-2 merupakan inisiatif KBS menerusi JBSN yang menyediakan platform kepada belia untuk mengetengahkan potensi, bakat dan keupayaan diri menerusi pelbagai cabaran yang berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda.

    Bagi musim ke-2, Jaguh Rakan Muda menyaksikan peningkatan skala penganjuran dengan sembilan episod berbanding enam episod pada musim pertama. Jumlah hadiah terkumpul turut meningkat kepada RM150,000.00 termasuk 50 hadiah berjumlah RM300.00 untuk penonton di rumah berbanding RM100,000.00 pada musim terdahulu, sekali gus memperluas peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, kreativiti dan keupayaan masing-masing yang mana buat julung kalinya episod akhir disiarkan secara langsung. 

    Sambutan terhadap sesi uji bakat musim ke-2 turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila seramai 1,042 orang peserta telah menyertai sesi uji bakat di enam zon berbanding 508 orang peserta pada musim pertama. Peningkatan penyertaan ini menunjukkan minat dan keterlibatan belia terhadap platform yang disediakan melalui Jaguh Rakan Muda.

    Menampilkan seramai 100 orang peserta bagi musim ke-2, program ini meneruskan format pertandingan realiti yang menguji kebolehan peserta menerusi pelbagai cabaran. Setiap cabaran yang dilalui bukan sahaja menguji keupayaan peserta, malah menjadi platform untuk membina keyakinan diri, memupuk semangat berpasukan serta memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah.

    Jaguh Rakan Muda Musim ke-2 telah disiarkan menerusi saluran RTM, iaitu saluran Okey dan TV2 mulai 10 Oktober hingga 15 November 2026. Penyiaran ini diharap dapat memperluas capaian program kepada masyarakat di samping memberikan ruang kepada lebih ramai belia untuk mengenali dan menyokong bakat serta potensi peserta yang terlibat.

    Ditulis oleh: Media JBSN




    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 17-11-2026, 21:32:57

    Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search