- JBSN
- Hits: 193
76 PESERTA PROGRAM MADANI FELLOWSHIP 2026 DIPERKASA SEBAGAI PELAPIS KEPIMPINAN MASA HADAPAN NEGARA
- JBSN
- Hits: 193

PUTRAJAYA, 30 SEPTEMBER 2026 - YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Putra, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan Menteri Kabinet, antaranya YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan; Timbalan-timbalan Menteri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Program MADANI Fellowship merupakan penjenamaan semula Program Felo Perdana selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026. Program ini melibatkan 76 orang peserta yang akan ditempatkan selama empat (4) bulan di Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara serta agensi-agensi terpilih di bawah kementerian-kementerian, bermula 30 September 2026.
Selain itu, program MADANI Fellowship turut memberi fokus kepada lima (5) aspek utama iaitu pembangunan potensi kepimpinan, tadbir urus kerajaan, polisi dan dasar pentadbiran, penglibatan belia dalam perancangan dan penggubalan dasar serta pembinaan rangkaian pemimpin belia.
Pelaksanaan program MADANI Fellowship juga melibatkan semua kementerian dengan sokongan rakan strategik daripada sektor awam dan swasta, antaranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Institusi Pendidikan Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/ IPTS) serta Persatuan Alumni Felo Perdana (PFAA).
Program MADANI Fellowship diharapkan dapat menjadi platform strategik untuk mendekatkan generasi muda dengan institusi kerajaan, memperkukuh bakat kepimpinan belia serta membuka ruang kepada golongan belia untuk menyumbang perspektif dan idea dalam pembangunan negara, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 (Pelan PBM 2035) dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).
Ditulis oleh: Media JBSN
