
PUTRAJAYA, 30 Julai 2026 – Seramai 103 warga Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di ibu pejabat, negeri serta daerah telah menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Majlis tersebut merupakan simbol penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan pengorbanan warga JBSN yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan amanah serta menyumbang kepada pembangunan belia dan sukan negara.
Penganugerahan itu diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga JBSN untuk terus meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh integriti serta menyemarakkan budaya kerja berprestasi tinggi demi memenuhi aspirasi KBS.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan dan turut dihadiri oleh Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah JBSN.
Pengiktirafan yang diberikan diharap menjadi suntikan motivasi kepada semua penerima untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, semangat juang yang tinggi serta profesionalisme dalam memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan negara.
Ditulis oleh: Media JBSN
