
PUTRAJAYA, 22 JULAI 2026 - Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini meluncurkan Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli, sebuah gerakan nasional di bawah inisiatif Rakan Muda yang bertujuan membudayakan kepekaan, keberanian untuk bertindak secara selamat serta menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia, bagi membanteras budaya buli.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Rahimi Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Puan Azura Abidin dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), saudara Fazreen Fauzi.
Peluncuran kempen ini mencerminkan komitmen KBS menerusi JBSN dalam memperkukuh peranan belia sebagai ejen perubahan untuk membina masyarakat yang lebih selamat, inklusif dan saling menghormati, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 serta Pelan Tindakan Pembangunan Belia 2035.
Isu buli kini tidak lagi terbatas di institusi pendidikan, malah turut berlaku di tempat kerja, dalam komuniti dan di alam siber. Justeru, KBS mengambil pendekatan proaktif dengan memperkasa golongan belia untuk menjadi pemangkin kepada budaya saling menghormati, saling menyokong serta berani bertindak dalam mencegah dan menangani perlakuan buli.
Kempen ini dilaksanakan menerusi kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), disokong oleh Yayasan MyPrihatin sebagai rakan strategik dan pelaksana, serta dibimbing oleh pakar pencegahan jenayah, Dr. Shamir Rajadurai, selaku Penasihat Pakar PekaRasa.
Pelaksanaannya merangkumi siri jelajah ke sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT), program kesedaran di tempat kerja, pengisian menerusi program-program Rakan Muda serta kempen digital di pelbagai platform media sosial bagi memperluaskan kesedaran kepada masyarakat.
Sekalung penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada semua rakan strategik dan penaja yang telah menyokong pelaksanaan Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli iaitu Gamuda Land, Siti Khadijah, ZUS Coffee, Vircle dan Nasken Coffee.
Sokongan daripada entiti korporat dan sektor swasta ini membuktikan bahawa usaha membanteras budaya buli merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen serta kerjasama menyeluruh daripada seluruh ekosistem masyarakat.
Ditulis oleh: Media JBSN
