
TAWAU, 21 JUN 2026 - Seramai 30 belia lepasan tahfiz di Sabah telah melangkah setapak lagi ke hadapan melalui Program Keusahawanan Belia Bestari (B-BEST) @ Rakan Niaga yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
Program ini merupakan antara inisiatif Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dalam memperkasa belia lepasan tahfiz melalui pendedahan kemahiran teknikal, pembangunan diri dan persediaan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran serta peluang menjana pendapatan.
Menurut Puan Fazulia Zulkifli, Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi, Sepanjang program, para peserta telah mengikuti latihan asas pendawaian elektrik yang merangkumi aspek keselamatan elektrik, penggunaan alatan, pemasangan pendawaian dan latihan amali.
"Peserta turut dibimbing dalam penyediaan resume dan padanan pekerjaan bersama MyFutureJobs sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.
"Program B-BEST merupakan antara usaha JBSN untuk memperkasa potensi belia lepasan tahfiz melalui pendedahan kepada kemahiran yang relevan dan pembangunan diri secara berterusan agar mereka dapat berkembang sebagai modal insan yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara," tambah beliau.
Inilah komitmen JBSN dalam melahirkan belia yang bukan sahaja berilmu, malah berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Ditulis oleh: Media JBSN
