YAB PERDANA MENTERI RASMI HIMPUNAN RAKAN MUDA MADANI


    SUNGAI PETANI, 7 JUN 2026 - YAB Dato’ Seri Diraja Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia hari ini telah menyempurnakan perasmian Himpunan Rakan Muda MADANI yang berlangsung di Padang Awam Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Haji Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Rahimi Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Puan Azura Abidin, barisan kepimpinan kerajaan, pemimpin belia serta masyarakat setempat.

    Penganjuran program ini merupakan kesinambungan kepada peluncuran inisiatif Rakan Muda MADANI yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pada 15 Mei 2026 di Sendayan, Negeri Sembilan.

    Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa potensi belia melalui penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti, pembentukan sahsiah serta pengukuhan nilai-nilai kenegaraan.

    Himpunan Rakan Muda MADANI menghimpunkan penyertaan anak muda melalui pelbagai aktiviti berteraskan 10 gaya hidup Rakan Muda. Antara pengisian yang disediakan termasuklah Senamrobik dan Berjalan Ria MADANI, Cabaran Sukan Elektronik, Perkhidmatan Potong Rambut dan Penukaran Minyak Hitam Percuma, Program Penukaran Al-Quran Percuma, Persembahan Waja Diri, Podcast Belia Santai serta pelbagai aktiviti interaktif yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan belia dan komuniti setempat.

    Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyampaikan cek cura Geran SejaTi MADANI X Belia berjumlah RM100,000.00 kepada enam (6) pertubuhan belia di Negeri Kedah, iaitu Majlis Belia Daerah Pendang, Kelab Belia Inspirasi Generasi Z Kota Setar, Persatuan Belia Nelayan Pengkalan Desa Kisap, Persatuan Belia Muafakat Batu Gajah, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Langkawi dan Pertubuhan Belia Al-Taqwa Kampung Kasap. 

    Selain itu, Kelab Belia Bandar Kota Setar menerima peruntukan berjumlah RM96,504.00, serta Kelab Rakan Muda Parlimen Pendang menerima peruntukan sebanyak RM20,000.00 di bawah inisiatif Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir. 

    Penyaluran bantuan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pertubuhan belia sebagai rakan strategik pembangunan komuniti serta menggalakkan pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan menjana pembangunan sosioekonomi di peringkat akar umbi. 

    Ditulis oleh: Media JBSN

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 07-06-2026, 18:38:36

    Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search