
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Pn. Azura binti Abidin, hari ini telah mengadakan lawatan ke Kg. Rasak Laut, Kota Marudu bagi meninjau kejayaan inisiatif belia luar bandar yang menghasilkan baja organik daripada kulit pisang.
Usahawan muda berdaya saing tersebut, Siti Subailah Suod atau lebih dikenali sebagai Bella, merupakan alumni Program Social Entrepreneurship for Rural Youth (SERY) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2022.
Menerusi inisiatif yang digelar sebagai ‘lab kampung’, Bella berjaya menghasilkan produk baja organik berasaskan sisa kulit pisang yang bukan sahaja berfungsi meningkatkan kualiti tanaman, tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Selain itu, Bella juga merupakan pengasas bersama Borneo Fertilyst, sebuah perusahaan sosial yang memberi fokus kepada inovasi pertanian lestari khususnya di kawasan luar bandar.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah YBrs. Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia), JBSN.
