Putrajaya, 14 Ogos 2025 – Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Puan Azura binti Abidin, hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Water Ski Putrajaya yang turut menempatkan pejabat rasmi Malaysia Waterski and Wakeboard Federation (MWWF).
Lawatan ini merupakan kunjungan balas kepada lawatan hormat pihak MWWF ke atas Ketua Pengarah JBSN yang telah berlangsung pada 4 Julai 2025.
Sepanjang lawatan, Puan Azura berkesempatan menyaksikan secara dekat sesi latihan intensif pasukan ski air negara sebagai persediaan menghadapi Temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadualkan pada Disember ini.
Selain itu, sesi perbincangan turut diadakan bersama pihak MWWF melibatkan fokus kepada pembangunan sukan ski air di peringkat akar umbi serta kebangsaan, bagi memastikan kesinambungan bakat dan pencapaian atlet Malaysia dalam arena antarabangsa.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) JBSN, En. Abd Aziz bin Abd Rahman.