Persidangan Sukan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025 Tampilkan Perkongsian Bermakna Ke Arah Sukan Inklusif Serantau
PUTRAJAYA, 20 Jun 2025 – Sempena Persidangan Sukan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025, para delegasi dan peserta telah menghadiri beberapa sesi interaktif yang menampilkan barisan penceramah berwibawa dari pelbagai latar belakang sukan dan pembangunan inklusif serantau.
Antara sesi yang paling mencuri tumpuan ialah pembentangan oleh YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), yang membawakan tajuk “Membina Sistem Sukan Inklusif di Malaysia: Laluan dari Pembangunan Akar Umbi ke Prestasi Sukan OKU Bertaraf Elit”.
Sesi berkenaan telah mencetuskan perbincangan yang dinamik dan berimpak tinggi, di mana para peserta dari pelbagai negara ASEAN mengambil bahagian secara aktif dengan mengemukakan soalan kritikal serta cadangan bernas bagi memperkukuh pendekatan inklusif dalam sistem sukan masing-masing.
Dalam pembentangannya, YBrs. Puan Azura menegaskan komitmen Malaysia dalam membangunkan sistem sukan yang mesra OKU, bermula dari akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa, dengan pendekatan berasaskan nilai inklusiviti dan kelestarian, sejajar dengan agenda pembangunan mampan ASEAN dan Malaysia MADANI.
"Kita percaya bahawa sukan bukan hanya medan kecemerlangan fizikal, tetapi juga ruang untuk memperkasa insan tanpa mengira keupayaan. Komitmen kami adalah untuk menyediakan akses yang adil dan sokongan yang menyeluruh kepada atlet OKU, dari peringkat komuniti hingga ke podium dunia,” ujar beliau dalam sesi tersebut.
Persidangan ini menjadi medan penting bagi negara-negara ASEAN untuk berkongsi amalan terbaik, memperkukuh jaringan kerjasama serantau, serta memperjuangkan agenda kesaksamaan dan penyertaan aktif dalam sukan bagi golongan orang kurang upaya.
JBSN kekal komited terhadap prinsip Inklusiviti dan Kelestarian — demi masa depan sukan yang lebih menyeluruh dan bermakna untuk semua.
