Jelajah Rakan Muda Turun Kampus di UiTM Puncak Alam


    YB Hannah Yeoh Terus Perkasa Suara Belia Menerusi Jelajah Rakan Muda Turun Kampus di UiTM Puncak Alam

    PUNCAK ALAM,  19 Jun 2025 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh meneruskan siri Jelajah Rakan Muda Turun Kampus dengan lawatan rasmi ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, sebagai sebahagian daripada usaha mendekati dan memperkasakan golongan belia di institusi pengajian tinggi.

    Program Rakan Muda Turun Kampus merupakan inisiatif strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi IPT untuk menyampaikan aspirasi, pandangan serta idea mereka secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS, sekaligus membina jambatan komunikasi dua hala yang lebih terbuka dan inklusif.

    Dalam sesi berinteraksi bersama lebih 1,000 pelajar UiTM, YB Menteri telah berkongsi secara langsung mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI khususnya dalam bidang pembangunan belia, sukan dan program Rakan Muda, termasuk peluang keusahawanan, kesukarelawanan, serta program pemerkasaan komuniti.

    Menurut YB Hannah Yeoh, pendekatan ini selaras dengan nilai teras Keyakinan dan Ihsan yang menjadi tunjang kepada konsep Malaysia MADANI, yang menekankan pentingnya suara belia didengari, keperluan mereka disantuni, dan bakat serta potensi mereka diangkat sebagai aset negara.

    “Melalui program ini, kita bukan sahaja datang untuk berkongsi dasar dan pelan pembangunan, tetapi juga untuk mendengar terus daripada belia – suara yang jujur dan tulus dari kampus. Inilah semangat Malaysia MADANI – mendengar, memahami dan bertindak bersama,” ujar YB Menteri dalam ucapannya.
    Turut hadir dalam sesi tersebut ialah pegawai kanan KBS, wakil-wakil kepimpinan mahasiswa dan fasilitator Rakan Muda yang bersama menjayakan pelbagai aktiviti interaktif sepanjang program berlangsung.

    Program ini dijangka akan diteruskan ke beberapa kampus lain di seluruh negara sebagai manifestasi komitmen KBS untuk meletakkan belia di pusat pembangunan negara, sejajar dengan slogan “Rakan Muda, Yakin Boleh!”.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search