Sambutan Hari Belia Negara 2025 Angkat Semangat “Yakin Boleh” di Dataran Merdeka



    Sambutan Hari Belia Negara 2025 Angkat Semangat “Yakin Boleh” di Dataran Merdeka

    KUALA LUMPUR, 15 Jun 2025 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hadir meriahkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan amanat khas kepada golongan belia, mengangkat tema “Yakin Boleh” sebagai simbol keyakinan dan semangat jitu generasi muda dalam membina masa depan negara.

    Sambutan HBN 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini memfokuskan kepada 15 port (zon aktiviti) dengan lebih daripada 100 pengisian melibatkan pelbagai aspek pembangunan belia termasuk keusahawanan, kesukarelawanan, sukan, kebudayaan, teknologi dan pendidikan.

    Penganjuran acara ini merupakan kemuncak kepada sambutan Hari Belia Negara yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan penglibatan belia dalam pelbagai sektor pembangunan negara.

    Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang diberikan kepada individu dan organisasi belia cemerlang atas dedikasi dan pencapaian luar biasa dalam memperkasa komuniti dan negara.

    Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang menyatakan komitmen kementerian dalam terus menyediakan ruang, peluang dan platform strategik buat pembangunan potensi belia Malaysia.

    Sambutan ini bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dan kepelbagaian belia tanah air, malah menjadi medan pengukuhan jati diri dan aspirasi belia dalam menyumbang ke arah Malaysia MADANI.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search