- JBSN
- Hits: 167
Kunjungan Hormat Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS ke atas KP JBSN
- JBSN
- Hits: 167

Putrajaya | Jun 2025 – YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), telah menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang diketuai oleh Encik Zairuddin bin Mat Zuini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia, bertempat di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya.
Pertemuan dua hala ini menjadi medan strategik bagi kedua-dua agensi kerajaan membincangkan pelbagai bentuk kerjasama rentas sektor, khususnya yang menyentuh aspek pembangunan belia, pendidikan komuniti serta pengukuhan daya saing modal insan di peringkat akar umbi.
Antara topik utama yang disentuh termasuklah potensi kolaborasi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemerkasaan fasiliti latihan komuniti, penganjuran program pendidikan awal kanak-kanak, serta inisiatif kesukarelawanan yang merentas generasi.
YBrs. Puan Azura dalam ucapannya menegaskan kepentingan kerjasama antara jabatan dalam memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi memperluas capaian program pembangunan belia yang lebih menyeluruh, inklusif dan mampan. Beliau turut menyambut baik keterbukaan KEMAS dalam merangka kerjasama strategik demi manfaat bersama masyarakat.
Sementara itu, En. Zairuddin menyatakan keyakinan bahawa gabungan kepakaran KEMAS dalam pendidikan komuniti dan kekuatan JBSN dalam pemerkasaan belia akan menjadi pemacu sinergi nasional dalam membina komuniti berdaya tahan serta belia yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Pertemuan ini turut menandakan langkah awal kepada pelaksanaan program berimpak tinggi secara bersama, sekaligus memperkukuhkan pendekatan “whole-of-government” dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan kolaboratif.
