Lawat Kampung Angkat MADANI @ Kg. Temelong



    Lenggong, Perak |  Jun 2025
    – Inisiatif Kampung Angkat MADANI, yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar, terus diperluas pelaksanaannya di seluruh negara melalui pendekatan "whole of government". Salah satu kampung yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini ialah Kampung Temelong, Lenggong, yang telah diumumkan sebagai Kampung Angkat MADANI kepada Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Puan Azura binti Abidin.

    Dalam lawatan rasmi beliau ke Kg. Temelong hari ini, YBrs. Puan Azura mengambil peluang untuk mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi membincangkan keperluan asas infrastruktur, potensi pembangunan tempatan serta strategi menjadikan kampung ini sebagai tarikan pelancongan dan rekreasi komuniti.

    Antara fokus utama yang dikenal pasti ialah penambahbaikan fasiliti di Pulau Temelong Campsite & Water Rafting, yang mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan destinasi rekreasi utama di daerah Lenggong. Projek ini dijangka bukan sahaja meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat, malah memperkukuhkan ekopelancongan dan aktiviti luar yang mampu menarik minat belia serta pengunjung dari dalam dan luar daerah.

    Inisiatif ini turut disemarakkan dengan kehadiran tetamu kehormat, YAM Raja Saidatul Mardhiah binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, yang turut memberikan sokongan terhadap aspirasi pembangunan luar bandar yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi.

    Turut hadir dalam lawatan ini ialah En. Abd Aziz bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Sukan) JBSN; Pn. Nor Azah binti Ahmad Dahalan, Pengarah JBS Negeri Perak; serta En. Mohd Noor Azam Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong. Kehadiran tokoh-tokoh utama ini membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam merealisasikan matlamat Kampung Angkat MADANI.

    Lawatan dan libat urus ini turut menyaksikan kesediaan JBSN untuk bekerjasama rapat dengan komuniti setempat dalam usaha mempertingkatkan daya saing kampung melalui elemen pembangunan modal insan, rekreasi dan keusahawanan sosial.

    Inisiatif Kampung Angkat MADANI dijangka akan terus menjadi pemangkin kepada transformasi kawasan luar bandar yang lestari dan menyeluruh, seiring dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat secara holistik.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-10-2025, 15:43:48

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search