Majlis Kemuncak Kejayaan Summer Camp Rakan Muda Peringkat Negeri Perak Tahun 2025


    Gerik, Perak | 3 Jun 2025 – YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menyempurnakan Majlis Kemuncak Kejayaan Program Summer Camp Rakan Muda Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 yang berlangsung di Pulau Tali Kail, Hutan Simpan Belum, Gerik.

    Majlis ini merupakan acara kemuncak bagi program berbentuk pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia yang dilaksanakan di bawah inisiatif Rakan Muda, bertujuan memperkasakan generasi muda melalui pendekatan aktiviti lasak, berorientasikan alam semula jadi dan berteraskan nilai kemasyarakatan serta pembinaan jati diri.

    Dalam ucapan perasmiannya, Puan Azura menekankan kepentingan program berbentuk rekreasi dan pengukuhan kendiri seperti ini dalam membentuk generasi muda yang resilient, berdisiplin serta mempunyai daya tahan mental dan fizikal yang tinggi. Beliau turut menggalakkan lebih banyak penglibatan belia dalam program berbentuk experiential learning seperti Summer Camp ini bagi menyemai semangat kerjasama dan kepimpinan sejak usia muda.

    Program yang berlangsung selama beberapa hari ini telah melibatkan pelbagai aktiviti mencabar seperti ekspedisi hutan, aktiviti air, pengurusan diri dalam persekitaran luar serta latihan kepimpinan, sekaligus mengasah kemahiran sosial peserta dalam suasana sebenar.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pn. Azlina binti Mohd Adnan, Penolong Pengarah (Rakan Muda) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak yang turut menyatakan komitmen berterusan pihak jabatan dalam memperluaskan penglibatan belia luar bandar serta memperkukuh agenda pembangunan Rakan Muda di peringkat negeri.

    Dengan penyertaan belia dari pelbagai daerah di Perak, program ini bukan sahaja menjadi platform pendedahan kendiri, tetapi turut memperkukuhkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

    Majlis ini sekali gus menandakan penutup rasmi kepada satu lagi inisiatif berjaya di bawah pelan transformasi Rakan Muda selari dengan aspirasi pembangunan belia negara menjelang tahun 2030.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-10-2025, 15:43:48

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search