Bengkel ARPRM Jadi Platform Strategik Interaksi Pemegang Taruh dan IAF


    PUTRAJAYA, 28 Mei 2025
    – Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan Bengkel Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) bersama delegasi The Duke of Edinburgh’s International Foundation (IAF) yang kini berada di Malaysia, sebagai satu platform interaktif antara pemegang taruh dan organisasi antarabangsa tersebut.

    Bengkel ini membuka ruang perbincangan secara langsung antara pihak IAF dan wakil-wakil utama pelaksana ARPRM termasuk sekretariat, pemimpin, mentor, badan operasi serta agensi berkaitan. Fokus perbincangan tertumpu kepada isu-isu pelaksanaan, penambahbaikan modul serta pemantapan operasi program supaya selari dengan standard antarabangsa dan keperluan belia masa kini.

    Menurut Ketua Pengarah JBSN, YBrs. Puan Azura Abidin, bengkel ini merupakan peluang berharga untuk menyemak semula pencapaian dan arah tuju ARPRM, dengan mengambil kira input dan pandangan daripada pihak IAF sendiri.

    “Segala pandangan yang dikongsikan akan dijadikan panduan dan penanda aras untuk memperkukuh pelaksanaan program ARPRM di peringkat nasional. Matlamat kita adalah untuk melahirkan peserta yang lebih berkualiti, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” jelas beliau.
    Sesi turut dihadiri oleh Mr. Edwin K. Kimani, Pengarah Operasi Global IAF, yang memuji inisiatif Malaysia dalam memperkasakan program pembangunan belia melalui ARPRM. Turut hadir, En. Syamsul Tahrin bin Mohd Tahir, Timbalan Ketua Pengarah (Rakan Muda), JBSN.

    Bengkel ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan IAF, malah menjadi landasan penting dalam memantapkan hala tuju ARPRM ke arah yang lebih mampan, inklusif dan berimpak tinggi dalam membentuk generasi belia yang berintegriti dan kompeten.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 11:13:28

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search