KBS dan TGV Cinemas Jalin Kerjasama Strategik Perkasa Kempen Belia Bebas Dadah


    Kuala Lumpur, 4 JUN 2025
    – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bersama TGV Cinemas dalam memperkasakan Kempen Belia Bebas Dadah melalui penayangan video kesedaran di seluruh pawagam TGV di negara ini.

    Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu majlis pelancaran yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, serta barisan atlet negara sebagai simbol sokongan terhadap inisiatif tersebut.

    Kerjasama ini dilaksanakan menerusi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), dengan objektif utama untuk menyampaikan mesej kesedaran tentang bahaya dadah dan bahan terlarang secara lebih berimpak dan dekat dengan golongan sasaran, khususnya belia dan ibu bapa.

    Menurut YB Hannah Yeoh, pawagam bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga merupakan ruang strategik untuk mendidik masyarakat dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.

    “Melalui kempen ini, kita mahu menjadikan pengalaman menonton filem sebagai peluang untuk mendidik dan menyatukan keluarga. Ia adalah satu langkah kecil dengan impak yang besar dalam membina masyarakat bebas dadah,” katanya dalam ucapan perasmian.
    Video kesedaran yang akan ditayangkan sebelum setiap filem ini dijangka mampu menjangkau ratusan ribu penonton di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan.

    KBS dan Rakan Muda akan terus mempergiatkan usaha advokasi serta kerjasama rentas sektor demi memastikan kesejahteraan belia diberi perhatian selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.

    Turut hadir menyatakan sokongan terhadap kempen ini ialah atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan; Olahragawati Kebangsaan 2024 merangkap atlet lawn bowls, Nor Farah Ain Abdullah; dan jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.

    KBS turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang komited dalam menjayakan Kempen Belia Bebas Dadah, khususnya TGV Cinemas yang tampil sebagai rakan kongsi utama dalam inisiatif kali ini.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-10-2025, 15:43:48

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search