Putrajaya, 23 Mei 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) terus komited memperkasa suara generasi muda melalui penganjuran Makmal Suara Belia, sebuah platform interaktif yang membolehkan golongan belia menyampaikan pandangan, cadangan dan aspirasi mereka secara konstruktif.
Makmal yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) ini telah menghimpunkan seramai 27 anak muda daripada 8 Kumpulan Sasar Belia, bertujuan meneroka penambahbaikan program sedia ada serta mencetus cadangan baharu yang lebih segar dan relevan dengan kehendak semasa belia.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang dialog terbuka antara belia dan pihak kerajaan, malah hasil dapatan makmal ini akan dijadikan input penting dalam pelaksanaan Makmal Pembangunan Belia Siri 3 yang akan datang.
Usaha ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar dan program belia yang lebih inklusif, progresif dan berimpak tinggi bagi menyokong aspirasi pembangunan belia negara.