- JBSN
- Hits: 117
Majlis Penutupan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025
- JBSN
- Hits: 117
Kuala Lumpur, 25 Mei 2025 – Majlis Penutupan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berlangsung penuh gilang-gemilang di Lanai Matic, Jalan Ampang, disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa semangat "Yakin Boleh" bukan sekadar slogan, tetapi perlu dijadikan prinsip hidup dalam kalangan belia. Beliau turut menyeru golongan muda agar tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai agen penyatuan, pendamai dan pelindung nilai harmoni dalam masyarakat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Anugerah Ikon Belia Wilayah Persekutuan 2025 oleh YAB TPM, sebagai penghargaan kepada individu dan organisasi belia yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pembangunan belia negara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; YBrs. Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negara; serta Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Majlis ini menjadi simbolik penutup kepada sambutan HBN peringkat wilayah dengan penglibatan aktif komuniti belia dan rakan strategik, menjulang semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.