KAJANG, 18 Mei 2025 – Selepas tiga hari penuh aksi dan semangat kesukanan yang membara, Cabaran Sukan Wanita 2025 secara rasminya melabuhkan tirainya di Sports Arena @ UNITEN, menandakan penutup kepada kejohanan yang meraikan kehebatan atlet wanita negara dalam pelbagai disiplin sukan.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hamidah Naziadin, Pengerusi Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan, yang turut menyampaikan penghargaan kepada pasukan-pasukan yang telah menunjukkan semangat juang luar biasa sepanjang kejohanan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah En. Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pn. Sukhdev Kaur Harcharan Singh, Ketua Sekretariat Wanita Dalam Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), yang masing-masing memberi sokongan penuh terhadap inisiatif memperkasa wanita dalam bidang sukan tanah air.
Kejohanan ini menyaksikan penyertaan pelbagai pasukan dari seluruh negara yang bersaing dalam suasana penuh profesionalisme dan semangat kesukanan tinggi. Kejayaan penganjuran ini sekali gus memperkukuhkan peranan wanita sebagai penggerak utama dalam arena sukan negara.
“Cabaran Sukan Wanita bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol kekuatan, kecekalan dan potensi luar biasa wanita Malaysia dalam dunia sukan,” ujar Dato’ Hamidah dalam ucapannya.
Tahniah diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding atas komitmen dan pencapaian masing-masing. Penghargaan juga diberikan kepada seluruh barisan teknikal, urus setia dan para penyokong yang telah bersama menjayakan kejohanan ini dari awal hingga akhir.