PUTRAJAYA, 16 Mei 2025 – Sesi Santai KBS anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berlangsung dengan jayanya menerusi perkongsian oleh Puan Nur Hazwani Hashim, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Sesi santai yang diadakan secara dalaman ini bertujuan memberi peluang kepada warga KBS untuk berkongsi ilmu serta memperkasa kefahaman mengenai pelbagai program kementerian yang memberi impak langsung kepada pembangunan belia negara.
Dalam sesi kali ini, Puan Hazwani membawakan tajuk “Anugerah Perdana Belia Negara (APBN)”, dengan fokus kepada pelaksanaan dan prosedur pemilihan calon bagi anugerah berprestij tersebut yang diadakan setiap tahun.
Menurut beliau, APBN merupakan platform penting bagi memberikan pengiktirafan kepada individu belia dan persatuan belia yang telah menunjukkan komitmen tinggi serta sumbangan signifikan dalam memajukan negara.