Kuala Lumpur, 15 Mei 2025 – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, hari ini hadir merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan 2025 (KBK2025) yang diadakan bersempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025.
Konvensyen yang berlangsung dengan penuh semangat itu menghimpunkan lebih 300 orang belia dari seluruh negara sebagai satu medan strategik untuk membincangkan peluang, cabaran serta tahap kesiapsiagaan belia dalam menghadapi era kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat membangun.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebagai usaha memperkasa peranan belia dalam landskap teknologi dan pembangunan negara.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS, yang menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif dialog terbuka dan perkongsian ilmu dalam kalangan belia.
Dalam ucapannya, YB Adam Adli menekankan bahawa generasi muda perlu sentiasa bersedia dan berdaya saing dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi global, terutama dalam bidang AI yang bakal mencorak masa depan pekerjaan dan gaya hidup.
“Konvensyen ini merupakan platform penting untuk mendengar suara belia serta memberi ruang kepada mereka untuk mencorak dasar yang lebih inklusif dan relevan,” katanya.
Dengan tema “Belia Malaysia, Yakin Boleh!”, KBK2025 menjadi simbol keyakinan dan komitmen negara dalam memupuk semangat belia yang progresif, celik teknologi dan berdaya tahan.