GOMBAK, 15 Mei 2025 – Program Rakan Muda Turun Kampus diteruskan dengan siri jelajah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak hari ini, menampilkan kehadiran YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang turun padang untuk berinteraksi secara langsung bersama warga kampus.
Program ini merupakan inisiatif strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyuarakan pandangan, menyampaikan aspirasi serta mengetengahkan idea secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.
Dalam sesi interaksi yang diadakan, YB Hannah Yeoh berkongsi pelbagai inisiatif utama kerajaan khususnya di bawah agenda Kerajaan MADANI, dengan penekanan terhadap pembangunan belia, hala tuju Rakan Muda, dan peluang dalam bidang sukan serta kepimpinan.
“Mahasiswa merupakan aset negara yang kritikal dalam pembinaan masa depan Malaysia. Melalui platform seperti ini, kita bukan sahaja mendengar suara mereka, tetapi juga memperkasa mereka sebagai pemacu perubahan,” ujar beliau dalam ucapannya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah:
YBrs. Encik Jamaludin bin Said, Pengarah Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar, UIAM
Puan Azura Hj. Sarbin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor
Program Rakan Muda Turun Kampus dijangka diteruskan ke beberapa universiti lain sebagai usaha memperluas keterlibatan belia dalam pembangunan dasar serta meningkatkan kesedaran mengenai peluang dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan melalui KBS dan agensinya.