PUTRAJAYA, 12 Mei 2025 – Dataran Putrajaya pagi ini meriah dengan kehadiran ratusan peserta sempena Program Car Free Day Putrajaya bagi bulan Mei 2025, yang disemarakkan dengan pelbagai aktiviti kesukanan dan riadah anjuran pelbagai agensi termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Sebagai agensi yang sentiasa komited dalam mempromosi gaya hidup sihat, JBSN turut serta menganjurkan beberapa aktiviti menarik seperti ‘Family Fun Walk’, senamrobik, dan Endurobik Challenge, yang disambut meriah oleh warga Putrajaya dari pelbagai lapisan usia.
Antara acara utama program kali ini ialah Majlis Pelancaran Program ‘Biggest Loser Penjawat Awam Putrajaya 2025’, satu inisiatif yang bertujuan memupuk budaya bersukan serta menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam. Program ini dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan dan aktiviti fizikal yang berstruktur.
Majlis dirasmikan oleh YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah JBSN, yang turut menyatakan bahawa penyertaan aktif dalam acara sebegini membuktikan keprihatinan JBSN terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental rakyat, khususnya golongan belia dan penjawat awam.
Turut hadir memeriahkan program ialah:
YBrs. Tuan Shamshul Joehari bin Zainal Mokhtar, Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), Perbadanan Putrajaya
YBrs. Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia), JBSN
En. Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), JBSN
En. Sabran Abd Bahar, Pengarah JBS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Penganjuran Car Free Day bukan sahaja mendokong amalan mesra alam dan pengurangan pelepasan karbon, tetapi turut menjadi platform terbaik bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti fizikal secara santai dan inklusif.
JBSN akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama ini dalam memastikan gaya hidup sihat terus menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.