ZEPPO Dance 2025



    KUALA LUMPUR, 10 Mei 2025
    – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif Rakan Muda terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa potensi belia melalui pelbagai platform ekspresi seni, termasuklah bidang tarian yang menjadi antara medium popular dalam kalangan generasi muda masa kini.

    Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap penganjuran program ‘Zeppo Dance Showcase 2025’, yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini dianjurkan oleh kumpulan Zeppo Youngsterz dan menampilkan pelbagai persembahan tarian kontemporari, urban serta tradisional yang mempamerkan keunikan dan kepelbagaian kreativiti anak muda negara.

    Turut hadir memeriahkan acara ialah YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang menyatakan penghargaan terhadap usaha penganjur serta penari muda yang menjadikan seni tari sebagai saluran positif untuk ekspresi diri.

    “Program seperti ini bukan sahaja menjadi landasan untuk anak muda mengekspresi bakat mereka, tetapi juga selari dengan fokus Gaya Hidup Rakan Ekspresi, salah satu daripada sepuluh komponen utama dalam inisiatif Rakan Muda yang digariskan KBS,” ujar beliau dalam ucapan ringkasnya.

    ‘Zeppo Dance Showcase 2025’ telah berjaya menarik penyertaan dari pelbagai kumpulan tarian belia dari seluruh negara, membuktikan minat dan semangat yang tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap seni tari sebagai bentuk ekspresi, pembangunan sahsiah serta pengukuhan jati diri.

    KBS melalui Rakan Muda akan terus menyokong penganjuran program seumpama ini dalam memastikan anak muda diberikan ruang dan peluang untuk berkembang secara holistik, bukan sahaja dalam bidang akademik dan kerjaya, tetapi juga dalam aspek seni, budaya dan kreativiti.

    Image

    Aras 14, Menara KBS
    Kementerian Belia dan Sukan
    No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62570 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    Pautan Dalaman

    Pautan Luar

    Kemaskini Terakhir: 02-10-2025, 15:43:48

    Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS

    Design & Development By JoomShaper

    Search