KBS Perkukuh Peranan Belia di Peringkat Serantau
Selangor, 6 Mei 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyertai 2nd Consultative Meeting of Young Parliamentarians of ASEAN yang diadakan pada 6 Mei 2025 (Selasa), jam 11.15 pagi bertempat di Wyndham Acmar, Klang. Mesyuarat ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Parlimen Malaysia dan Dewan Negeri Selangor, bersempena penganjuran ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025.
KBS telah diwakili oleh YBrs. Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, yang telah dijemput sebagai ahli panel dalam sesi Young Parliamentarians Consultative Dialogue – Session 2, yang bertemakan:
🔹 "Ensuing ASEAN’s Future: Youth in Action for Sustainability and Inclusivity"
Dialog ini merupakan platform penting yang menghimpunkan ahli Parlimen muda dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan belia, pengukuhan dasar awam, serta keterlibatan generasi muda dalam arena politik dan kepimpinan.
Penyertaan KBS dalam sesi ini menggambarkan komitmen berterusan kementerian dalam memposisikan belia sebagai pemacu utama ke arah pembentukan ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap cabaran masa hadapan.
Melalui penglibatan aktif dalam platform ini, KBS terus berusaha memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memajukan agenda pembangunan belia yang progresif dan menyeluruh.