PUTRAJAYA, 29 April 2025 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) bersama pemimpin belia pelbagai agama di Menara KBS, Putrajaya.
Sesi tersebut menghimpunkan lebih kurang 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pelbagai agama, termasuk pemimpin agama serta belia dari pelbagai latar belakang. Tujuan utama RTD ini adalah untuk membina jaringan kerjasama erat dalam menangani isu-isu sosial yang melibatkan golongan belia di Malaysia.
Dalam sesi perbincangan tersebut, semua wakil yang hadir diberi peluang berkongsi pandangan dan idea bagi menyokong usaha pembangunan belia yang sedang digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ia menjadi platform penting untuk memperkasa suara belia serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti berbilang agama dalam membentuk masyarakat yang lebih harmoni.
YB Hannah Yeoh menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk memastikan kesejahteraan belia negara melalui penerapan nilai kesejahteraan, keyakinan dan ihsan. Beliau turut menyeru agar kerohanian yang kukuh dan perpaduan yang erat terus diperkasakan demi membina masa depan belia Malaysia yang lebih gemilang.
"Kita percaya bahawa dengan semangat kerjasama dan kefahaman antara agama, kita dapat membentuk generasi belia yang bukan sahaja berjaya, malah menjadi tonggak kepada keharmonian negara," kata beliau.
Sesi RTD ini menandakan satu lagi langkah proaktif KBS dalam memperkasa pembangunan belia seiring aspirasi Malaysia MADANI.