Putrajaya, 20 Mac 2025 – Majlis Perasmian Pertandingan Biggest Loser Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang. Acara ini telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), sebagai tanda permulaan program kesihatan yang inovatif dan penuh inspirasi.
Pertandingan ini merupakan satu inisiatif hasil cetusan idea YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, dengan matlamat untuk melahirkan pekerja yang lebih sihat dan aktif, sekaligus meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Program ini bukan sekadar pertandingan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan kepada warga KBS dalam mengamalkan gaya hidup sihat serta pemakanan yang seimbang dalam kehidupan seharian.
Sebanyak 164 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan KBS telah menyahut cabaran untuk menyertai pertandingan ini. Mereka akan melalui pelbagai aktiviti dan sesi bimbingan sepanjang tempoh program yang dijadualkan tamat pada 31 Ogos 2025.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah En. Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Sukan) JBSN, yang turut memberikan sokongan penuh kepada inisiatif ini.
Dengan komitmen tinggi JBSN dalam mempromosikan gaya hidup sihat, pertandingan ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada semua peserta serta menjadi inspirasi kepada warga kerja yang lain untuk turut serta dalam mengamalkan kehidupan yang lebih sihat dan aktif.
Gaya hidup sihat, JBSN komited!