

Putrajaya, 12 Mac 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyemarakkan sambutan Ramadan dengan penganjuran Pelancaran Program Rakan Muda Ramadan serta Majlis Berbuka Puasa Peringkat KBS.
Acara bermula seawal pagi dengan aktiviti merewang bagi menyediakan bubur lambuk, mengeratkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga KBS.
Majlis turut menyaksikan Pelancaran Program Rakan Muda Ramadan oleh YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Program ini merupakan salah satu inisiatif ikonik yang dirangka khusus bagi golongan belia sepanjang bulan Ramadan.
Kemuncak program ini akan berlangsung di peringkat kebangsaan pada 20 Mac 2025 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, dengan pelbagai aktiviti menarik serta pertandingan bagi menggalakkan penyertaan belia.
Majlis Berbuka Puasa KBS turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu. Turut hadir ialah YBhg. Dato' Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS, serta YBrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Dengan semangat Ramadan, JBSN terus komited dalam membangunkan belia ke arah kecemerlangan!
