- JBS Terengganu
- Hits: 18
BENGKEL PEMIMPIN BAHARU ARPRM PERKUKUH KEPIMPINAN BELIA DI TERENGGANU
- JBS Terengganu
- Hits: 18
KUALA TERENGGANU, 2 Julai 2026– Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemimpin Baharu Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga (3) hari dua (2) malam bermula 30 Jun hingga 2 Julai 2026 di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu.
Program yang menghimpunkan seramai 30 orang peserta ini bertujuan melahirkan lebih ramai Pemimpin Bertauliah ARPRM yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti bagi memperkukuhkan pelaksanaan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di Negeri Terengganu.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Nor Hisham bin Mohamed, Pegawai Rakan Muda, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa peranan Pemimpin Bertauliah ARPRM amat penting dalam memastikan pelaksanaan program berjalan secara sistematik, selamat dan berkesan, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan serta kesukarelawanan dalam kalangan belia.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian merangkumi taklimat mengenai konsep dan falsafah ARPRM, peranan serta tanggungjawab Pemimpin Bertauliah, pengurusan komponen program, latihan simulasi, kajian kes, perbincangan berkumpulan serta sesi pembentangan. Pendekatan pembelajaran secara interaktif ini memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam mengendalikan pelaksanaan ARPRM mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Sebagai sebahagian daripada proses pentauliahan, peserta turut menjalani penilaian yang meliputi kehadiran, penglibatan aktif, tugasan berkumpulan dan penilaian kefahaman. Hanya peserta yang memenuhi syarat kehadiran penuh serta lulus penilaian yang ditetapkan akan diperakukan sebagai Pemimpin Bertauliah Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dalam memperkasa pelaksanaan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda serta memperluaskan jaringan Pemimpin Bertauliah yang mampu membimbing penyertaan belia secara aktif di peringkat negeri. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Kementerian Belia dan Sukan untuk melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berkarisma dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #ARPRM
Disediakan Oleh : Unit Pengurusan Portal JBSNT
