AGROBELIA LESTARI TERENGGANU LAHIRKAN BELIA BERKEMAHIRAN, PACU MINAT GENERASI MUDA DALAM BIDANG AGROMAKANAN

Besut, 28 Jun 2026 – Usaha memperkasa golongan belia dalam sektor agromakanan terus diperkukuh menerusi penganjuran Kursus Penanaman dan Penjagaan Pokok Pisang Agrobelia Lestari@Rakan Mahir 2026 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Jun 2026 di Kompleks Rakan Muda Besut, Terengganu. Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu berjaya menghimpunkan 42 orang peserta terdiri daripada ahli Kelab Belia Generasi Felcra Keruak Besut, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam bidang Pertanian dan Ekonomi, pelajar Politeknik Besut, Kolej Vokasional Besut, serta belia usahawan pertanian setempat di daerah Besut. Penganjuran kursus ini membuktikan komitmen Agrobelia Lestari Terengganu dalam melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan sektor agromakanan yang semakin berkembang. Melalui pendekatan pembelajaran secara teori dan amali, peserta didedahkan kepada teknik penanaman dan penjagaan pokok pisang yang sistematik, merangkumi pemilihan benih berkualiti, penyediaan kawasan tanaman, teknik penanaman, pembajaan, kawalan perosak dan penyakit, serta amalan pertanian baik (GAP). Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran teknikal peserta dalam penanaman dan penjagaan pokok pisang, di samping menyemai minat golongan belia agar melihat sektor agromakanan sebagai bidang yang mempunyai potensi besar untuk diceburi sama ada sebagai kerjaya mahupun perusahaan. Program ini juga menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui penglibatan lebih ramai belia dalam sektor pertanian moden. Sepanjang kursus berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam setiap sesi pembelajaran, khususnya semasa latihan amali di lapangan. Penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan komuniti membuktikan bahawa bidang agromakanan semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda, khususnya di Terengganu. Melalui inisiatif Agrobelia Lestari@Rakan Mahir, Agrobelia Lestari Terengganu bukan sahaja berjaya meningkatkan kompetensi belia dalam bidang pertanian, malah berperanan sebagai pemangkin dalam melahirkan usahawan muda yang berkemahiran, inovatif dan berdaya tahan. Program seumpama ini diharap dapat terus diperluaskan bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan keterjaminan bekalan makanan negara. #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSNT Disediakan Oleh : Unit Pengurusan Portal JBSNT
Image
Jalan Pasir Panjang
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu
Tel : 09-6222344/45 dan 09-6223693
Fax : 09-6236596

Web : http://www.jbsn.gov.my/jbs-terengganu

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 27-07-2026, 09:56:48

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search