- JBS Terengganu
- Hits: 63
PROGRAM PENGENALAN SUKAN BAHARU FLOORBALL PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2026
- JBS Terengganu
- Hits: 63
PROGRAM PENGENALAN SUKAN BAHARU FLOORBALL PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2026
9 Mei 2026 telah mencatat satu lagi langkah positif dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan di Negeri Terengganu apabila berlangsungnya Program Pengenalan Sukan Baharu Floorball Peringkat Negeri Terengganu 2026 bertempat di Gelanggang Futsal, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 40 peserta yang terdiri daripada 16 wanita dan 24 lelaki dengan semangat dan minat yang tinggi untuk mengenali serta mempelajari sukan floorball yang kini semakin berkembang di Malaysia. Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan sukan baharu kepada masyarakat khususnya golongan belia, malah menjadi platform penting dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan asas permainan, teknik pengendalian kayu dan bola, peraturan permainan serta latihan praktikal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada Persatuan Floorball Malaysia (MFA). Antara tenaga pengajar yang terlibat ialah En. Mohd Hafidz bin Zainalabidin selaku Timbalan Presiden MFA, En. Taqiuddin Izzat bin Md Zin, En. Ahmad Fakhrullah bin Mohamad dan Sharvin a/l Muniady. Kehadiran mereka banyak membantu memberi pendedahan secara profesional dan meningkatkan keyakinan peserta untuk mendalami sukan ini dengan lebih serius.
Majlis perasmian program turut disempurnakan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat iaitu YBrs. Encik Abd Aziz bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBrs. Encik Asmadi bin Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta En. Mohd Fais bin Haji Mohd Sendek, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Kehadiran para pegawai ini jelas menunjukkan komitmen berterusan pihak kerajaan dan agensi berkaitan dalam memperluaskan pembangunan sukan baharu serta menyediakan lebih banyak peluang penyertaan kepada belia dan komuniti setempat.
Diharapkan program seumpama ini dapat menjadi titik permulaan kepada perkembangan sukan floorball di Negeri Terengganu dan seterusnya melahirkan lebih ramai atlet berbakat yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Selain membentuk gaya hidup sihat, penglibatan dalam sukan juga mampu memupuk disiplin, semangat kerja berpasukan, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan generasi muda.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta, tenaga pengajar, urus setia serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan yang lebih cemerlang di Negeri Terengganu.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #JBSNT #Floorball
