MAJLIS PERASMIAN PROGRAM FIESTA RAKAN MUDA X PLAY TRUE DAY @ TERENGGANU 2026

Majlis Perasmian Program Fiesta Rakan Muda x Play True Day @ Terengganu 2026
KUALA TERENGGANU, 18 April 2026 – Majlis Perasmian Program Fiesta Rakan Muda x Play True Day @ Terengganu 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah pada jam 4.30 petang di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Turut hadir ialah YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu; YB Dato’ Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia; serta YBhg. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Majlis turut dihadiri oleh YB Sr. Haji Zaharuddin Zaid, ADUN Bukit Tunggal; YBhg. Dato’ Haji Abdul Kahar bin Abdul Latif; serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri dan wakil badan agensi bukan kerajaan.
Ketibaan YB Menteri bersama tetamu kenamaan disambut dengan penuh simbolik apabila mereka menaiki bot penambang dari Jeti Penambang Pasar Payang menuju ke Jeti Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, diiringi perarakan kapal layar, kayak dan bot rowing yang mencerminkan keunikan sukan air negeri Terengganu.
Setibanya di lokasi, majlis diserikan dengan persembahan silat oleh Persatuan Silat Daerah Kuala Terengganu, diikuti upacara mengalungkan tanjak kepada YB Menteri sebagai simbol penghormatan dan warisan budaya.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran program berskala besar ini. Seterusnya, ucapan perasmian telah disampaikan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari yang menekankan kepentingan penglibatan belia dalam aktiviti sihat, berdaya saing dan berintegriti selaras dengan aspirasi pembangunan belia negara.
Gimik perasmian turut menjadi tumpuan apabila YB Menteri menarik tali perahu layar sehingga layar dikembangkan dengan paparan tajuk program, menandakan perasmian rasmi Fiesta Rakan Muda x Play True Day @ Terengganu 2026.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan perasmian Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu serta menyaksikan penyerahan rasmi kompleks tersebut daripada wakil Jabatan Kerja Raya kepada beliau sebagai simbolik penyerahan. YB Menteri kemudiannya menandatangani plak perasmian sebagai tanda perasmian rasmi kompleks berkenaan.
Sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, YB Menteri turut melaksanakan aktiviti penanaman pokok sebagai gimik tambahan dalam majlis tersebut.
Majlis perasmian ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan belia serta mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat, di samping mengangkat Terengganu sebagai destinasi utama sukan air dan aktiviti belia di Malaysia.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #JBSNT #FiestaRakanMuda

Image
Jalan Pasir Panjang
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu
Tel : 09-6222344/45 dan 09-6223693
Fax : 09-6236596

Web : http://www.jbsn.gov.my/jbs-terengganu

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 24-05-2026, 17:16:43

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search