- JBS Terengganu
- Hits: 1
KEJOHANAN ORIENTEERING PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2026!
- JBS Terengganu
- Hits: 1
KUALA NERUS, 4 April 2026 – Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGK DRI) menjadi venue penganjuran Kejohanan Orienteering Peringkat Negeri Terengganu 2026 yang berjaya menghimpunkan seramai 150 orang peserta dari seluruh negara.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orienteering Negeri Terengganu ini berlangsung dengan penuh saingan apabila para peserta menguji kemahiran navigasi, kecekapan membaca peta dan kompas serta ketahanan fizikal sepanjang perlumbaan yang dilaksanakan di kawasan kampus dan kampung sekitar.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Asmadi bin Mohamad, yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua peserta yang mengambil bahagian dalam menjayakan kejohanan tersebut.
Menurut Presiden Persatuan Sukan Orienteering Negeri Terengganu, Tuan Haji Syed Mohd Yasni bin Syed Yasin, kejohanan ini dianjurkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh International Orienteering Federation (IOF) bagi memastikan pertandingan dilaksanakan mengikut standard antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa sukan orienteering merupakan salah satu daripada 103 jenis sukan yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, dan penganjuran kejohanan seperti ini penting dalam memperkasa pembangunan sukan tersebut serta memperluaskan penyertaan di peringkat negeri dan negara.
Tambah beliau lagi, kejohanan kali ini turut menggunakan sistem pemasaan elektronik berteknologi tinggi daripada Huichang yang mampu merekod masa peserta dengan lebih tepat dan sistematik, selaras dengan penggunaan teknologi moden dalam penganjuran sukan masa kini.
Berikut merupakan senarai juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan:
• Juara IPT Lelaki: Sulaiman Hamidi bin Zukaria dengan catatan masa 28 minit 23.4 saat.
• Juara IPT Wanita: Nur Khairol Nisya’ binti Bejo dengan catatan masa 45 minit 34.5 saat.
• Juara Terbuka Lelaki: Azam bin Mohd Shidid dengan catatan masa 26 minit 27.9 saat.
• Juara Terbuka Wanita: Siti Aisha binti Mohd Radzi dengan catatan masa 38 minit 12.0 saat.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan peserta, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuhkan pembangunan sukan orienteering di Terengganu serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sukan berasaskan kemahiran navigasi ini.
#dskkbs2026
#rakanmuda
#rakanaktif
#kbs
#jbsn
#psot
#orienteeringterengganu
