- JBS Terengganu
- Hits: 2
MAJLIS PERSARAAN DAN PERTUKARAN PEGAWAI JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI TERENGGANU
- JBS Terengganu
- Hits: 2
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Jasa jauh dikenang selalu,
Budi disemai jadi kenangan.
KUALA TERENGGANU – Dalam suasana penuh tertib dan sarat rasa syukur, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) telah mengadakan Majlis Persaraan dan Pertukaran Pegawai sebagai tanda mengenang jasa dan menghargai pengorbanan warganya yang setia berkhidmat.
Empat (4) orang pegawai dan kakitangan diraikan sempena persaraan mereka setelah sekian lama menabur bakti tanpa jemu. Setiap keringat yang gugur, setiap masa yang dikorbankan, menjadi tiang seri yang mengukuhkan berdirinya organisasi. Mereka bukan sekadar melaksanakan tugas, bahkan memikul amanah dengan penuh ikhlas, menjunjung disiplin serta memelihara nama baik jabatan.
Pada majlis yang sama, Puan Suriani Ketua Pembantu Tadbir JBSNT turut diraikan bersempena pertukaran tugas ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Terengganu. Sepanjang berkhidmat di JBSNT, beliau dikenali sebagai insan yang tekun menyusun perjalanan pentadbiran, cermat dalam tindakan, dan setia pada tanggungjawab.
Dalam ucapannya, Pengarah JBSNT, Asmadi Mohamad, menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan. Beliau berharap agar para pesara dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, ketenangan hati serta kehidupan persaraan yang diberkati bersama keluarga tercinta.
Beliau turut mendoakan agar pegawai yang bertukar tempat berkhidmat akan terus melakar kecemerlangan dan membawa bersama semangat JBSNT ke medan baharu. Sesungguhnya perpisahan ini bukanlah noktah penamat, tetapi titik mula bagi perjalanan yang lebih bermakna.
Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita bertemu lagi.
Majlis berakhir dalam suasana penuh santun dan harmoni, disulami doa serta harapan agar ukhwah yang terjalin akan terus mekar, walau masa dan jarak menjadi pemisah.
Semoga En. Fikri bin Mahmud, Mohd Nazrul bin Mamat, Pn. Norzahidah binti Ruslan, Pn. Suriani binti Mamat dan En. Mohd Suhaimim bin Muda terus sihat dan sentiasa dipayungi oleh rahmat Allah SWT.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #JBSNT
Disediakan Oleh : Unit Pengurusan Portal JBSNT
