INTERNATIONAL GOLDEN MONSOON RIDE & RUN (IGMRR) 2025

Kuala Terengganu, 20 Disember 2025 – Seramai 20 orang warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) telah mengambil bahagian dalam International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 edisi ke-7 yang berlangsung secara karnival dari 18 hingga 20 Disember 2025.

Program ini melibatkan penyertaan lebih 4,000 orang peserta dan menampilkan kelainan berbanding penganjuran tahun-tahun sebelumnya yang hanya memfokuskan acara berbasikal. Pada edisi kali ini, pelbagai disiplin sukan telah dipertandingkan termasuk larian dan duathlon. Program berprestij ini dianjurkan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dengan kerjasama Terengganu Inc.

Penyertaan JBSNT merangkumi acara Fun Run, Fun Ride serta Duathlon kategori Men Open dan Veteran (Relay). Bagi acara duathlon kategori relay, pertandingan melibatkan tiga (3) orang peserta yang perlu melengkapkan tiga disiplin sukan bermula dengan larian sejauh 5 kilometer, diikuti kayuhan basikal sejauh 10 kilometer bagi setiap pusingan sebanyak tiga (3) pusingan, sebelum disudahi dengan larian sejauh 5 kilometer oleh peserta ketiga.

Tn. Haji Asmadi Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, turut menyertai acara kategori relay dan berbasikal sejauh 30 kilometer. Penyertaan ini telah membuahkan hasil yang membanggakan apabila pasukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu berjaya meraih tempat ketiga (3) bagi kategori Open, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM800.

Secara keseluruhannya, penglibatan JBSNT dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam mempromosikan amalan gaya hidup sihat serta membudayakan aktiviti sukan dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat. Penyertaan ini juga menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa yang berpotensi meningkatkan imej Negeri Terengganu sebagai destinasi sukan dan pelancongan aktif, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara jabatan, agensi kerajaan negeri dan sektor swasta.

Majlis penutup serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, mewakili YAB Menteri Besar Terengganu. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada penganjur dan peserta yang terlibat.

#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNT #JBSNKomited #rakanmuda #MalaysiaMADANI #IGMRR2025 #BeTheChange

Disediakan Oleh : Unit Pengurusan Portal JBSNT

Image
Jalan Pasir Panjang
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu
Tel : 09-6222344/45 dan 09-6223693
Fax : 09-6236596

Web : http://www.jbsn.gov.my/jbs-terengganu

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 23-02-2026, 09:32:41

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search