GERAN PADANAN SUKAN RM55,000 SOKONG PENGANJURAN MERDEKA 4X4 CHALLENGE EDISI KE-5

KUALA NERUS, 31 Ogos 2025 – Penganjuran Merdeka 4x4 Challenge Edisi Ke-5 terus mencipta penanda aras baharu apabila menerima sokongan besar melalui penyerahan Geran Padanan Sukan berjumlah RM55,000.00 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada penganjur utama, Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4).

Cek Cura Geran tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Asmadi Bin Mohamad, sebagai usaha memperkukuhkan budaya sukan lasak serta menyokong penganjuran acara berimpak tinggi di negeri ini.

“Geran Padanan Sukan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kelab dan persatuan sukan terus mampu menganjurkan program yang memberi manfaat luas, bukan sahaja kepada komuniti sukan lasak tetapi juga menjana impak ekonomi setempat,” ujar Tuan Haji Asmadi.

Bertempat di Bandar Baru Kuala Nerus, kejohanan yang berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos 2025 itu melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memperkenalkan Kategori Wanita, sejajar dengan aspirasi Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, untuk memperluas penyertaan wanita dalam pelbagai disiplin sukan termasuk sukan permotoran lasak.
Kejohanan ini merekodkan penyertaan terbesar sejak mula dianjurkan, iaitu 152 jentera pacuan empat roda melibatkan 304 peserta dari seluruh negara.

Presiden UT4x4 merangkap Pengarah Pertandingan, Muhammad Muzzammil Mokhetar, menyifatkan penganjuran kali ini sebagai lonjakan baharu buat komuniti sukan pacuan empat roda tanah air.

Selain KBS, penganjuran ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Nerus, dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang melihat acara ini sebagai platform memperkukuhkan pelancongan sukan serta tarikan baharu di pantai timur.

Merdeka 4x4 Challenge edisi kelima ini mempertaruhkan dua kategori utama iaitu Long Wheel Base dan Short Wheel Base dengan 9 peringkat cabaran (SS) yang menjadi penentu kejuaraan pacuan empat roda paling berprestij di negara ini.

Turut hadir Yang Berhormat Ustaz Khazan Bin Che Mat Timbalan Speaker Negeri Terengganu mewakili Yang Berhormat Datuk Razali Bin Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
JBSNegara
Rakan Muda

#GeranPadananSukanKBS
#KBSMalaysia
#JBSNKomited
#MalaysiaMadani
#TeamJBSNT

Disediakan Oleh : Unit Pengurusan Portal JBSNT

Image
Jalan Pasir Panjang
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu
Tel : 09-6222344/45 dan 09-6223693
Fax : 09-6236596

Web : http://www.jbsn.gov.my/jbs-terengganu

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 23-02-2026, 13:35:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search