RAKAN MASJID X RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT NEGERI SABAH
14 Mac 2026, TAWAU - Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Sabah 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan aktif golongan belia.
YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) berkesempatan hadir merasmikan program ini.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah melalui inisiatif Rakan Muda ini menjadi platform yang dapat menarik minat belia untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian di samping mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang program tersebut antaranya tadarus al-Quran, Majlis Khatam Al-Quran, Tazkirah Ramadan, Bacaan ayat suci Al-Quran dan Majlis berbuka puasa yang bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, malah turut mengeratkan hubungan antara belia dan komuniti setempat.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang seimbang dari segi pembangunan rohani, sahsiah dan kepimpinan selaras dengan aspirasi melahirkan belia MADANI yang aktif serta berperanan dalam pembangunan masyarakat.
Turut bersama dalam program ini ialah YBrs. Encik Noorman bin Ramlan, Timbalan Pengarah JBS Sabah, YBrs. Tuan Syed Ridzuan bin Sharif Sihan, Pegawai Pengelola, Pejabat Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Bahagian Tawau, Encik Mohammad Nazrul Nordin, Naib Presiden Majlis Belia Sabah, Ustaz Muhammad Irfan bin Ariff, Penolong Pengarah YADIM Negeri Sabah dan Tuan Haji Khalid Haji Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar, Tawau.
Oleh :
Mohamad Safwan Ibrahim
JBSN Sabah
