- JBS Perak
- Hits: 3
JBS PERAK TERIMA LAWATAN KERJA RASMI MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA
- JBS Perak
- Hits: 3
JBS PERAK TERIMA LAWATAN KERJA RASMI MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA
IPOH, 28 Januari 2026 – Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak mencatat sejarah tersendiri apabila menerima Lawatan Kerja Rasmi YB Dr. Mohammed Taufik bin Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang baru ke negeri Perak hari ini.
Lawatan tersebut turut disertai Yang Berusaha Dato’ Dr. Ts. Nagulendran A/L Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Yang Berusaha Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; serta barisan pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Program lawatan dimulakan dengan Taklimat Pengoperasian Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak oleh En.Mohd Hafeez Hussein, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak sebelum diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra YB Menteri bersama pegawai dan kakitangan JBS Negeri Perak.
Sesi Dialog Terbuka bersama YB Menteri dan Pengurusan Tertinggi KBS dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga jabatan bagi mengemukakan pelbagai cadangan dan pandangan. Antaranya termasuk cadangan agar kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dimeterai melalui kaedah Memorandum Persefahaman (MoU) atau mekanisme bersesuaian. Usaha ini dilihat penting bagi memastikan pelaksanaan program belia, sukan dan Rakan Muda dapat melibatkan golongan sasar khususnya di peringkat sekolah.
Selain itu, isu penambahan peruntukan yang bersesuaian dengan keluasan dan saiz lokaliti negeri Perak turut dikemukakan untuk pertimbangan YB Menteri. Cadangan penubuhan Kelab Rakan Muda di peringkat Parlimen juga dibincangkan sebagai inisiatif bagi menghidupkan kembali gerakan Rakan Muda agar menjadi fenomena dalam kalangan Gen Z masa kini.
Dalam ucapannya, YB Menteri mengambil maklum semua isu dan cadangan yang dibangkitkan serta menyatakan komitmen untuk membawa hasrat akar umbi ini ke peringkat nasional bagi diteliti dan diselesaikan secara menyeluruh.
Lawatan kerja ini seterusnya diteruskan ke Tapak Pembinaan Perak Youth Centre di Parlimen Tambun. YB Menteri diberikan taklimat pembangunan fasiliti tersebut oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Beliau turut menzahirkan komitmen KBS dalam memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar demi memperkasa pembangunan sukan dan belia selaras dengan aspirasi Belia MADANI di negeri Perak.
Pembangunan Perak Youth Centre dijangka menjadi hab penyatuan komuniti belia melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan acara sukan pada masa hadapan.
Sebelum berlepas pulang ke Putrajaya, YB Menteri turut meluangkan masa menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada beberapa bekas atlet veteran yang mengalami komplikasi masalah kesihatan di kediaman masing-masing sekitar Bandaraya Ipoh. Lawatan di mulakan ke kediaman En. Ng Fook Huat, Atlet Wushu Sukan Asian, Beijing ( 1990) dikuti ke kediaman En.Masmudin Bin Rabien, Atlet Olahraga Asian Track & Field Singapura(1988) dan terakhir menziarahi En. Cheah Tong Kim , Atlet Renang Sukan Olimpik Tokyo(1964). Beliau menzahirkan perasaan simpati dan berharap semua atlet ini sentiasa diberikan kekuatan dalam menghadapi masalah kesihatan masing masing.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia atas kesudian meluangkan masa mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke negeri Perak.
#jbsnpk #jbsnegara #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMadani
