LAWATAN PEMANTAUAN PELAKSANAAN AUDIT TADBIR URUS PENGOPERASIAN GIMNASIUM RAKYAT KOMPLEKS RAKAN MUDA KUALA PILAH

KUALA PILAH, 12 Mac 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah mengadakan Lawatan Pemantauan Pelaksanaan Audit Tadbir Urus Pengoperasian Gimnasium Rakyat Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah pada hari ini bagi memastikan pengurusan kemudahan sukan tersebut berada pada tahap terbaik serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
Lawatan pemantauan tersebut telah diketuai oleh En. Abdul Razak Bin Abdul Rashid, Penolong Pengarah Cawangan Kecergasan Nasional bersama Pn. Azrin Binti Kamsor, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Cawangan Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Lawatan ini bertujuan untuk menilai aspek pengoperasian fasiliti, penyelenggaraan peralatan, tahap keselamatan pengguna serta keberkesanan pengurusan fasiliti gimnasium dalam menyediakan perkhidmatan kecergasan yang berkualiti kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah En. Azharizal Bin Santib, Penolong Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang bersama-sama meninjau keadaan fasiliti serta pelaksanaan pengoperasian di gimnasium berkenaan.
Lawatan pemantauan ini turut disertai oleh Datuk Mohamad Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mike Mahen, jaguh bina badan negara yang terkenal dengan pencapaian sebagai Juara Dunia sebanyak enam kali. Kehadiran beliau bukan sahaja memeriahkan program malah turut memberi inspirasi kepada komuniti setempat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti kecergasan.
Pelaksanaan lawatan pemantauan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negara dalam memastikan setiap kemudahan sukan yang disediakan kepada masyarakat sentiasa berada dalam keadaan terbaik, selamat digunakan serta mampu menyokong usaha memperkasa budaya kecergasan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Image
D/A Kompleks Belia Dan Sukan Paroi
70400 Seremban Negeri Sembilan
Tel : 06-7613163/06-7641480 | Fax : 06-7625569

jbsn9@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-n9

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 25-03-2026, 08:57:50

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search