- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 15
PROGRAM RAKAN MASJID X RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT DAERAH KUALA PILAH MERIAH SEPANJANG BULAN RAMADAN
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 15
KUALA PILAH – Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Kuala Pilah telah berjaya dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan dengan pelbagai pengisian aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan yang melibatkan penyertaan aktif golongan belia, masyarakat setempat, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Program ini dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak melalui penglibatan belia dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada diri, komuniti dan institusi masjid.
Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya Tadarus Al-Quran, Qiamullail, Gotong-royong memasak Bubur Lambuk bersama penduduk kampung, serta Gotong-royong memasak Dodol Cair bersama agensi dan NGO. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan malah mengeratkan hubungan antara belia dan komuniti setempat.
Selain itu, program Bakul Makanan dan Jelajah Kasih turut dilaksanakan bagi menyantuni penggiat belia di sekitar Daerah Kuala Pilah yang telah ditimpa musibah. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Al-Firdaus KRM Kuala Pilah serta mendapat tajaan daripada Syarikat Seri Pajam Development, sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial pelbagai pihak dalam membantu golongan yang memerlukan.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyediakan platform yang dapat menarik minat golongan belia dalam menghidupkan bulan Ramadan Al-Mubarak melalui pengisian aktiviti kerohanian yang bermanfaat. Di samping itu, program ini juga bertujuan mengukuhkan jalinan persaudaraan dan ukhuwwah dalam kalangan belia daripada pelbagai latar belakang, serta memupuk semangat kebersamaan dan nilai kemasyarakatan dalam komuniti.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah belia serta menggalakkan mereka untuk terus mendekati institusi masjid sebagai pusat pembangunan rohani, sosial dan kemasyarakatan.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Kuala Pilah. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang demi manfaat bersama.
